Sebuah Pasu, Sebuah Lagu
Aku kembali! Tidak. Aku tidak pernah pergi. Aku tidak pernah jadi perigi. Aku pasu. Sepalsu-palsunya aku, aku tetap tak kemana-mana. Aku di sini. Tidak. Aku tak pernah berhenti. Aku pasu. Diusap berapa kali, aku tetap tak hendak berhenti bernyanyi. Aku berlagu. Di dadamu, aku bernyanyi pilu. Menyaru rayuan para peri. Mesyuarat ratapan yang kudengar setiap hari -- Pergi! Pergi! Pergi ke perigi! Menimba lagi. Menimbang-nimbang persoalan diri. Di sini, hanya terpantul pertanyaan dini -- siapa aku ini? Aku pasu. Bejana itu. Tak bijaksana kau berkaca padaku. Pergilah! Pergilah ke perigi. Ambil airmu sendiri. Lalu -- aliri ambisimu padaku. 2016